20110428

Jangan Berpaling, Ikutlah Jalan Allah...

" Ya Allah. garangnya laut, puput bayunya pun kasar tidak selembut sutera tatkala membelai wajah kami, semoga Engkau selamatkanlah kami dalam perjalanan musafir ini," desah hati Mak Uda perlahan-lahan sambil mulut terus berzikir. Mata terus memandang ke laut memerhati ombak yang ganas membadai tepian pantai!

Lamunan panjang memandang arah ke Laut China Selatan di muara Kuala Besut petang itu, mengundang pertanyaan buat Pak Uda yang berdiri di sebelah Mak Uda.

Lalu Mak Uda tunjukkan 'wajah laut' ketika itu padanya... . "InsyaAllah, kita akan selamat dan semua orang di sini pun selamat. Amin," balas Pak Uda sambil terus menghirup kopi panas di tangannya. Kami menginap di Hotel Samudera yang jauhnya cuma beberapa meter dari tepi pantai.

Itu adalah paparan senja 11 Mac 2011, tatkala beberapa jam berlalu gempa bumi dan tsunami membadai Jepun , Negara Matahari Terbit yang amat Mak Uda minati kerana banyak kenangan dilalui sewaktu pernah mampir ke daerahnya dahulu.

Hati bagai disayat apabila melihat wajah Fukushima dan Sendai yang dimamah musibah! Hanya Dia Yang Maha Tahu, kenapa terjadinya bencana!

Kami mudik ke Kuala Besut kerana meraikan majlis perkahwinan salah seorang anak besan kami di sana. Awal sampai disambut dengan rebas hujan yang kadangkala deras, berhenti seketika dan menyambung semula hingga membawa ke waktu tengah malam.


Kemalangan

Entah kenapa kali ini kami memilih untuk memandu kereta melalui jalan Grik-Jeli. Ini juga agaknya takdir bagi membolehkan kami melihat beberapa peristiwa sepanjang waktu ke sana. Sepanjang perjalanan kami sudah bertembung empat kemalangan ngeri. Ada yang terbunuh dan meninggal dunia, tak sempat berijab kabul pada keesokan hari... . Pesan Pak Uda kalau kita mahu berhenti mestilah kerana hendak memberikan pertolongan, paling kurangpun menelefon pihak berkuasa, dan itulah yang kami lakukan. Itulah Pak Uda, sebagai bekas anggota berpakaian seragam dia sentiasa prihatin.

Amat menakutkan kerana jarak balai polis, bomba dan hospital bukanlah macam bandar besar. Jarak jauhnya boleh menyebabkan pelbagai kesukaran tatkala berlaku musibah perlanggaran di jalan raya. Hampir semua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan tersebut remuk bagaikan tin sardin yang digumpal kemek! Memang manakutkan. Tetapi inilah rencah kehidupan kita di dunia. Setiap detik dan ketika berdepan dengan nikmat rahmat dan musibah silih berganti.


Musibah juga sebahagian nikmat


Bagaimana sikap kita ketika menghadapi musibah? Musibah itu juga sebahagian daripada nikmat Allah. Sama ada sebagai kafarah dosa atau ujian keimanan kepada hamba-hamba-Nya. Apa yang pasti kita hendaklah sabar ketika diuji, syukur tatkala diberikan rezeki!

Oleh kerana itu, selagi kita bernama manusia maka sewajarnyalah kita mengikut jalan yang telah ditentukan oleh-Nya. Allah SWT menciptakan manusia tidak ada tujuan melainkan untuk kita beribadat serta mentaati perintah-Nya.

Sebagai manusia kita adalah sebaik-baik ciptaan Allah. Maka dalam mensyukuri nikmat penciptaan tersebut apa yang mesti kita lakukan adalah mentaati Allah. Taat tanpa berbelah bahagi. Lakukan apa yang wajib diperintahkan, harus dituruti, makruh dibuat dan haram jika dilanggari! Biarpun bunyinya mudah tetapi memang sukar untuk dilakukan kecuali bagi kita yang mahukan jalan iman dan taqwa.

Batas antara buruk dan baik bagaikan sehelai benang halus yang memisahkan... Tetapi jika mahukan keselamatan dunia hingga akhirat pilian kita hanyalah melakukan sebanyak mungkin kebaikan dan perintah yang diberikan oleh-Nya kepada kita sebagai hamba!

Jangan berpaling lagi. Islam adalah jalan hidup terbaik. Maka jika kita mengkhianati pilihan itu dengan hal-hal yang menimbulkan kemurkaan Allah, tungggulah dan balasan daripada-Nya pasti tiba...



"Belum hebat cinta kita kepada Allah dan Rasul sebelum diuji musibah bencana"

No comments: